Category Archives: Faktor Suami

Faktor Lambat Dapat Zuriat, Dari Sudut Suami

WhatsApp 012 642 4559 Utk Pembelian OPK & UPT
Share

KEGAGALAN pasangan suami isteri yang sudah lama berkahwin memperoleh cahaya mata bukan hanya disebabkan wanita, sebaliknya kajian pakar perubatan mendapati 60 peratus masalah itu berpunca daripada lelaki.

Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Ketidaksuburan Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) Dr Zamri Abdul Rahim, berkata masalah ini berlaku kerana lelaki lebih terdedah kepada pelbagai risiko yang boleh menyebabkan mereka mengalami kemandulan.

Beliau berkata, walaupun ketika dilahirkan seorang lelaki itu memiliki tahap kesihatan seksual yang normal, pendedahan kepada faktor persekitaran yang tidak sihat ketika mereka membesar akhirnya boleh menyebabkan mereka mandul.

“Antara jenis kemandulan lelaki berpunca daripada ‘varicoceles’ iaitu bengkak sekitar testis akibat saluran darah ke bahagian itu terkumpul seterusnya menyebabkan suhu sekitar testis lebih tinggi daripada suhu badan (sekitar 38 darjah celcius).

“Suhu testis seharusnya berada di bawah suhu badan tetapi jika suhu itu lebih tinggi, maka sperma gagal atau kurang dihasilkan,” katanya.

Beliau berkata, lelaki berisiko terdedah kepada varicoceles ialah mereka yang gemar memakai seluar ketat, sentiasa berada di tempat yang panas seperti persekitaran kerja, memandu terlalu lama dan gemuk.

“Banyak lagi sebab yang boleh menyumbang kepada peningkatan suhu testis. Lelaki gemuk berisiko menghidap varicoceles kerana kegemukan menyebabkan jarak antara kedua-dua pahanya semakin rapat sehingga menghimpit testis.

“Bagi mengatasi masalah ini, maka pembedahan perlu dilakukan bagi melancarkan kembali aliran darah berkenaan seterusnya menurunkan suhu pada bahagian itu,” katanya.

Beliau berkata, seluar atau pakaian dalam yang longgar dan kain sarung adalah pakaian terbaik bagi mengelakkan risiko varicoceles.

Kegagalan sperma untuk bergerak menuju ke ovum juga menyumbang kepada kemandulan lelaki dan ia disebabkan beberapa faktor antaranya air mani terlalu pekat selain sperma menjadi cacat akibat tindak balas kimia daripada alkohol, rokok, dadah atau ubat tertentu.

“Sperma yang tidak normal menunjukkan beberapa kecacatan antaranya tidak memiliki ekor bagi membolehkan ia berenang atau memiliki dua kepala. Dalam air mani, seharusnya 75 peratus daripada sperma adalah berkeadaan baik.

“Jika jumlah sperma normal kurang daripada 75 peratus maka ia akan menjejaskan peluang persenyawaan,” katanya.

Terdapat juga kes penghasilan antibodi dalam badan menjejaskan penghasilan sperma seperti penghidap penyakit beguk di kalangan lelaki dewasa manakala masalah mati pucuk yang berpunca daripada kurangnya aliran darah ke zakar turut menyumbang kepada kemandulan di kalangan lelaki.

“Suami isteri juga perlu memastikan waktu yang tepat untuk bersama bagi memastikan peratusan berlakunya persenyawaan adalah tinggi. Jika kekerapan bilangan bersama adalah empat kali seminggu, peratusan untuk isteri mengandung dalam tempoh enam bulan adalah tinggi,” katanya.

Selain kemandulan yang berpunca daripada faktor persekitaran, ada di kalangan lelaki yang memiliki ‘kecacatan’ sejak lahir yang menyebabkan mereka kelihatan sihat dari segi fizikal tetapi memiliki masalah mandul.

Dr Zamri berkata, kebiasaannya keadaan lelaki seperti itu akan diwarisi oleh anak lelaki mereka iaitu mereka tidak mungkin memperoleh zuriat menerusi kaedah persetubuhan.

“Ada antara mereka yang dilahirkan tanpa saluran ‘vas deferens’ iaitu saluran yang menyalurkan sperma untuk bergabung dengan air mani. Golongan ini hanya mampu mengeluarkan air mani tetapi tiada sperma,” katanya.

Satu keadaan lagi ialah bayi lelaki dilahirkan dengan keadaan testisnya tidak turun ke dalam kantung yang tidak saja memberi risiko kemandulan apabila bayi itu dewasa malah turut terdedah kepada kanser.

“Sehubungan itu, setiap bayi yang dilahirkan akan dipastikan testisnya berada di dalam kantung dan jika selepas setahun keadaannya masih tidak berubah, maka pembedahan perlu dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, ada juga lelaki yang dilahirkan dengan hanya memiliki satu testis tetapi kajian mendapati 81 peratus daripada golongan itu tidak menghadapi masalah dalam kemandulan dan berkemampuan menjadi bapa.

Ketika diri masing-masing dimaklumkan bahawa mereka mandul, pasangan suami isteri itu tidak seharusnya saling salah-menyalahi antara satu sama lain sebaliknya perlu saling mendorong bagi menyelesaikan masalah itu.

Dr Zamri berkata, ini disebabkan dunia perubatan moden kini sudah menjumpai penyelesaian kepada masalah kemandulan di kalangan suami isteri sekali gus memberikan peluang untuk pasangan itu untuk menimang cahaya mata.

“Antara kaedah digunakan kini adalah persenyawaan bayi tabung uji atau lebih dikenali sebagai ‘Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI)’ dan kaedah ini tidak saja memberi peluang kepada pasangan untuk memperoleh anak malah juga anak kembar,” katanya.

Beliau berkata, kaedah ICSI dimulai dengan isteri diberi ubat tertentu bagi menggalakkan penghasilan telur (ovum) lebih banyak seterusnya telur itu akan disedut keluar. Pada masa sama, sperma turut disedut keluar daripada testis suami.

“Kemudian sperma suami akan dicucuk ke dalam ovum isteri dan selepas dibiarkan selama sehari, ia akan mula membentuk beberapa embrio.

“Kita akan memilih sekitar tiga embrio untuk disuntik ke dalam rahim isteri bagi memberikan lebih peratusan untuk hamil jika dua lagi embrio yang dipilih tidak hidup. Akan tetapi jika semua embrio membesar dengan baik, maka kemungkinannya adalah isteri akan mengandung anak kembar,” katanya.